CERITA TERBIASKAN

~LIFE IS LIKE FLOWERS~
.TIBA MASA LAYU JUGA.

Monday, January 31, 2011

Ancaman dari segenap sudut

" Jika musuh kita menyerang daripada segenap sudut yang ada, adakah kita akan selamat dengan bertahan hanya pada satu sudut? "
" Jika mata kita selamat daripada melihat aurat belum tentu telinga kita selamat daripada mendengar orang mengumpat. "
" Jika tangan kita bebas daripada mencuri, belum tentu kaki kita terhindar daripada melangkah ke tempat maksiat."
" Jika mulut kita bersih daripada yang haram, belum tentu kemaluan kita terhindar daripada dosa dan rangsangan. "

Musuh itu pasti menyerang daripada segenap sudut dan melalui segala kemungkinan yang ada. Musuh itu berupakan nafsu yang ada di dalam dirimu atau godaan daripada luar.
Dalam dunia yang sedang kita jalani sekarang, serangan itu semakin menjadi-jadi. Semua perkara dan alat yang kita gunakan di dalam kehidupan seharian akan diaplikasikan oleh musuh-musuh kita untuk melemahkan dan menghancurkan kita.
Hanya dengan melayari internet, kita terus terdedah kepada serangan tersebut sekalipun kita tidak berniat untuk melakukan kemungkaran. Apabila memandu melalui jalan-jalan di kota, kita terus dapat melihat serangan itu terpapar besar di papan-papan iklan. Wanita-wanita mendedahkan bahagian tubuhnya yang merangsang pemikiran lelaki.
Hanya dengan berjalan di sebuah pasaraya untuk memberi barangan keperluan, kita akan terlihat begitu banyak bentuk rangsangan yang merosakkan kekhusyukan ibadah kita. Bahkan hanya dengan memiliki sebuah telefon bimbit, sekian banyak 'SMS' yang masuk menawarkan aksi-aksi panas.
Serangan-serangan yang sedang kita hadapi ini bukanlah sesuatu yang biasa dan sangat menyesakkan dada. Setiap hari kita berhadapan dengannya tanpa diminta. Kita merasakan selamat kerana kita telah sebati di dalamnya. Boleh jadi juga kita sebenarnya telah kalah dan mungkin telah menjadi agen dalaman yang menyerang orang lain.
Kita sebenarnya tidak selamat jika kita hanya bertahan daripada satu sudut. Kita memerlukan sistem pertahanan yang memelihara kita daripada segenap sudut. Kita mesti menahan seluruh anggota yang mungkin diserang oleh musuh termasuk hati. Ya, sekalipun jasad kita selamat daripada benar-benar tewas, hati kita mungkin diserang penyakit yang sukar diubati.
Lebih teruk lagi jika kita gagal menyedari bahawa serangan-serangan itu wujud. Bahkan bertambah malang jika kita sudah tidak mahu bertahan lagi dan asyik dengan hidangan-hidangan yang dipaparkan kepada kita. Suatu hari, kita pasti hancur bersamanya.
Ghazwul fikri (serangan pemikiran) yang kita hadapi ini perlu ditentang dan dilawan secara berterusan. Walaupun kita belum mampu membina sebuah gelombang atau sistem yang boleh menghancurkan serangan sedia ada, bertahanlah daripada serangan dalam diri masing-masing.
"Aku sudah cukup kuat, aku pasti selamat."
" Bagaimana dengan ibu dan ayah kita? Adik-beradik kita, anak dan isteri kita nanti? Adakah kita ingin selamat seorang diri sedangkan Al-Quran memerintahkan untuk kita menjaga diri dan ahli keluarga kita daripada api neraka? "
Binalah kekuatan dalaman dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh kesedaran bahawa kita tidak akan selamat jika kita tidak bersedia untuk sebarang kemungkinan.
" Boleh jadi hari ini kita dapat mengelak, namun esok engkau kita terkandas jua."
Kekuatan iman dan takwa perlu digilap dan ditingkatkan supaya kita boleh bertahan dengan semua bentuk serangan. Kuncinya, bersabarlah kerana memang tak mudah.
" Sedarlah bahawa kita ibarat hidangan di mata musuh kita, bila-bila masa kita akan diterkam dan dimusnahkan jika kita tidak berjaga-jaga. Ya, musuh yang boleh muncul daripada mana-mana sudut dalam apa jua keadaan. Bersedialah. "

No comments:

Post a Comment